Ramadhan- ditunggu-tunggu kehadirannya. Terlalu banyak keistimewaan Ramadhan sehingga kehadirannya sering dinanti. Antaranya, dalam Ramadhan, ada solat sunat terawikh yang tidak ada pada bulan-bulan lain. Alhamdulillah, selain punya pengalaman menyambut awal Ramadhan di wad, pada hari keempat Ramadhan sehingga hari ini, saya berkesempatan menunaikan ibadah sunat terawikh secara berjemaah. Setia berkunjung ke satu masjid iaitu Masjid Gong Kepas yang diimamkan ustaz dari Kemboja. Bacaannya lunak dan iras2 Syeikh Masyari Rasyid. Alhamdulillah.
Di awal-awal Ramadhan, bahagian solat wanita penuh dan sesak dengan jemaah terawikh yang ramai. Kadang-kadang saya sendiri terpaksa duduk di saff luar masjid, iaitu di muka pintu masjid. Orang kata tak elok duduk di muka pintu, nanti tak ada orang masuk meminang. ;p Tapi, tak apa, saya bukan duduk, tapi saya sekadar bersolat di muka pintu. Persetankan kata orang asalkan saya dapat berjemaah terawikh bersama orang kampung saya... Cuma, di pertengahan Ramadhan, jemaah semakin berkurang dan di sinilah saya tergeleng-geleng kepala melihat barisan jemaah yang tidak teratur.
Bukan menggeleng kerana saff yang berkurang, tapi menggeleng kerana saff yang rongak-rongak. Di sebelah kiri berlubang, kanan berlubang walhal tengah juga berlubang. Saya mengajak beberapa orang untuk merapatkan saff di hadapan, tapi, orang yang diajak tetap tidak mahu berganjak. Ibarat satu sejadah untuk seorang, maka, boleh tembus mata penglihatan ke jemaah saff paling depan. Tidak kurang juga yang berat untuk berganjak disebabkan kedudukannya yang strategik iaitu betul2 dibuai-buai kipas angin industri yang besar. Susah-susah (menggeleng kepala). Susah sebab kebanyakannya lebih tua daripada saya, takut ditegur terasa pula hati mereka. Buktinya apabila saya cuba mengisi saff yang kosong, makcik di sebelah saya tiba2 berpaling dan bagitahu, ‘Dik, sempit la...peluh-peluh nanti..’ Saya terdiam, sekadar senyum dan terus bangkit untuk solat sebaik imam bertakbiratul ihram. ‘Maafkan saya makcik. Tak sanggup rasa hati membiarkan saff rongak begitu! Lagipun rasanya tak sempit dah’, sempat bermonolog di hati sedang di wajah penuh kerutan serba salah.
KENAPA KENA RAPATKAN SAFF?
Kenapa ya perkara yang kelihatan kecil ini saya besar-besarkan pada catatan kali ini?
Teringat saya pada zaman saya mula ingin mengenali agama, di UIA, kiri dan kanan saya adalah orang Arab. Tahu-tahu sajalah orang Arab ni badannya lebih berisi berbanding orang kita (Melayu), saya seakan dihimpit di tengah. Tiba-tiba seorang daripada jemaah keluar daripada saff sedang waktu itu sedang bersolat. Orang Arab di sebelah saya berganjak beberapa langkah dan saya masih diam disitu mengaminkan bacaan imam. Tiba-tiba saya dapat rasakan badan saya disentap oleh orang belakang menyuruh saya berganjak, dan baru saya berganjak perlahan-lahan. Dari situlah saya sentiasa cuba cakna tentang kesempurnaan saff apabila solat berjemaah.
Oh ya, masih tidak menjawab soalan. Mengapa rapatkan saff itu penting? Sebab, bahasa mudahnya, kita akan dapat fadhilat atau ganjaran yang besar daripada Allah dengan rapatnya saff solat. Bahasa mudahnya lagi, Allah suka kalau kita rapatkan saff solat. Daripada sudut sainsnya pula, apabila merapatkan saff, ion2 dalam badan kita mengalir, begitu juga daripada jiran-jiran jemaah kita. Ion-ion tersebutlah yang akan saling bertukar dan justeru menjalin ukhuwah antara kita sesama Islam. Kerana sentuhan juga boleh mengeratkan kasih sayang sesama kita bukan? ;p
Semasa zaman sekolah dulu-dulu, apabila saff tak rapat, kawan-kawan saya pernah tegur dan bagitahu jangan putuskan saff, nanti tak dapat pahala saff. Semudah itu saya difahamkan tentang kepentingan rapatkan saff solat. Dengan ini, saya juga ingin mengajak sahabat-sahabat dan adik-adik untuk lebih cakna tentang barisan solat jemaah kita. =)
Begitulah catatan saya, sekadar penjelasan mengikut pengalaman diri. Tapi, banyak sumber juga menekankan perihal kepentingan merapatkan saff solat. Di sini saya sertakan sumber-sumber yang boleh dijadikan rujukan :
http://ibnushukran.blogspot.com
http://zonedakwah.blogspot.com
Selamat Beramal dan Selamat Menyempurnakan Amalan! =)
Semoga Ramadhan penuh berkat. Amiin~
Wallahu’alam. Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan