Hiburan Itu Indah

Sabtu, 20 Ogos 2011

Pecutan Demi Pecutan- Coretan Ramadhan Nisa'


Alhamdulillah, hari ini kita masih diberi nikmat masih mampu bernafas sebagaimana hari semalam. Nikmat yang Allah berikan tidak mampu dibilang betapa banyaknya termasuklah nikmat sempat menyambut sekali lagi Ramadhan pada tahun ini. Andai saja oksigen tidak mampu memasuki paru, Andai saja jantung tidak lagi berdegup, nadi tidak lagi berdenyut, kita pasti kerugian andai tidak sekalipun melafazkan rasa syukur ini. Alhamdulillah wa syukran lillah, apapun, Hadza min fadhli Rabbi.=) Semuanya pun milik Allah, udara yang percuma diberi oleh Allah untuk kita terus melafazkan rasa syukur dan untuk kita terus menjalankan dua kewajipan kita sebagai manusia, ibadullah dan khalifatullah. Alhamdulillah once again, Thank You Allah. =)

Cuba bilang, hari ini sudah berapa hari kita berada dalam bulan Ramadhan atau orang Besut sebut, 'bule poso'? ;p (angkat tangan dan bilang)

Tahun ni sedikit senang untuk dikira berapa hari sudahpun kita berpuasa memandangkan 1 Ramadhan jatuh pada 1 Ogos, maka, 21 Ogos bersamaan dengan...? masuk 21 hari kita berpuasa. Jadi, Nisa' nak tanya sekarang kita sedang menempuh fasa ke berapa ya?

Baik, kita telahpun melepasi fasa pertama Ramadhan iaitu Fasa Rahmat Allah atau kasih sayang Allah.

Dalam fasa pertama, objektif yang sepatutnya dicapai adalah rahmat Allah. Macam mana? Banyak cara yang perlu dilakukan untuk meraih rahmat Allah. Antaranya, bila datang Ramadhan seharusnya kita berazam untuk membuang segala keburukan dan kejahatan atau lebih lembutnya kesilapan2 yang tidak putus-putus kita lakukan pada 8 bulan sebelum-sebelumnya. Agak-agak tercapai tak azam kita? Hmmm, tepuk dada, tanya iman. Hanya kita yang boleh menghisab diri kita sendiri sebelum dihisab oleh Tuan jasad dan roh. Semoga, kita bukan melepasi Fasa pertama Ramadhan bagai angin lalu, tapi, kita memperoleh rahmat Allah daripadanya. insyaAllah. =)

Fasa kedua Ramadhan, sudahpun kita lepasi. Tak tahulah lulus ataupun tidak sebab kelulusan fasa-fasa Ramadhan hanya Allah yang tahu dan boleh menilainya. Apakah ia fasa kedua? Apa objektif kita? Target fasa kedua adalah untuk mendapat keampunan daripada Allah iaitu maghfirah Allah. Semoga berlalu fasa kedua iaitu fasa pertengahan dengan keampunan Allah. Amiin.

Nisa' tak mahu berbicara panjang memandangkan sudah banyak juga buku-buku, artikel-artikel yang ditulis oleh orang yang faqih berkenaan Ramadhan, dan sahabat-sahabat juga pasti sedia maklum akan banyaknya kelebihan bulan Ramadhan. jadi, terus ke fasa ketiga Ramadhan, iaitu hari-hari yang sedang berlangsung sekarang.

Apa matlamat kita pada fasa ketiga Ramadhan?

Fasa ketiga ini dikatakan sebagai fasa bebas daripada cengkaman neraka, itqun minannar. Adakah semua yang menjalani ibadat puasa itu akan bebas daripada cengkaman neraka bila melalui fasa tiga ini? Oh tidak... bukan sewenang-wenangnya begitu. Kita akan dijauhkan daripada api neraka dengan syarat, kita berusaha bersungguh-sungguh menjauhi perkara yang dilarang Allah dan bersungguh melakukan sesuatu yang disukaiNya. Jangan dituntut pembebasan daripada api neraka andai badan kita masih kotor dan menebal dengan debu dosa.

Andai baju kotor hanya boleh dibersihkan dengan sabun, maka, sabun pencuci bagi dosa ialah taubat nasuha, berubah menjadi baik dan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi kesilapan. Bagaimana? Debu dosa boleh dicuci dengan zikir, solat dan sebagainya.

Jadi, yuk, kita sama-sama mengisi fasa tiga ini dengan sebanyak-banyak amalan yang disukai Allah seperti ; berzikir, berdoa, beritikaf, bertadarus, beristighfar, berqiammulail dan sebagainya.

Selain merupakan fasa dijauhkan daripada api neraka, dalam fasa ketiga ini juga Allah sajikan dengan sebuah hadiah yang tiada dalam bulan-bulan yang lain. Bukan calang orang akan mendapat hadiah ini melainkan orang yang dikehendakinya. Tapi, ada cara untuk kita menjadi orang terpilih menerima hadiah ini sebagaimana yang Nisa' sebutkan tadi. Buat perkara yang Allah suka dan sayangkan kita. Kalau kita berusaha bersungguh-sungguh insyaAllah Allah akan pilih kita menjadi orang yang istimewa mendapat hadiah tersebut. Hadiah apa ya?

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
(Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Ia lah Lailatul Qadar, malam lebih baik daripada seribu bulan. carilah ia, burulah ia. Tapi, ini tidak bermakna hanya pada fasa terakhir Ramadhan kita akan serta merta menjadi ahli ibadah yang tidak terpisah daripada bentangan sejadah. Seharusnya, daripada bulan-bulan sebelum lagi kita harus berusaha mendapatkannya. istiqamah dalam beribadat dan mencari redhaNya. Buat pecutan dan menangi lailatul qadar, tapi, andai sudah menang sekalipun, latihan pecut harus diteruskan atau kita akan kalah di sisi Allah pada bulan-bulan yang lain. Ingat ya, matlamat kita sebenarnya meraih redha Allah bukan hanya pada Ramadhan. orang kata Ramadhan sebagai bulan tarbiyah, ia melatih kita untuk menjadi umat yang lebih baik dan terus istiqamah pada bulan-bulan lainnya.

Sekadar ini coretan Nisa' kali ini. Maafkan andai ada terkasar bahasa. Nisa' juga masih lagi budak baru belajar, jadi, sebarang kesilapan dalam coretan ini harap dibetulkan.

Wallahu'alam, Wassalam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah..
subhanallah..
betapa sayangnya Allah pd kita..diberinya peluang tuk kt lalui Ramadhan kali ini..adakah ia lbh baik dr tahun lps @ sama jer? tepuk dada tanyalah iman kita..sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun.Subhanallah..diberinya kita ruang masa dan waktu tuk beramal dan beribadat kpdNya..jika dilihat pd zaman para nabi yg lain..tidak diberikan Ramadhan..tp Allah amat sayangkan umat NAbi Muhamad SAW..alhamdulillah..jika nak dihitung dgn usia umat Nabi Muhamad ini terlalu pendek berbanding umat Nabi2 lain yang beratus2 tahun lamanya..oleh sb itu, Ramadhan adalah tanda kasih syg Allah pd kita umat Nabi Muhamad..krn kita jauh drpd Rasulullah..hya tinggalan kitabullah dan sunnatullah shj penyambung warisan Anbiya'..